BICARA KALBU, TELEFATI, TAUTAN JIWA DAN DOA IBU
Assalamualaikum,
SOALAN SAYA:
Semoga team wanita jim ceria-ceria selalu menghadapi kehidupan.
Saya selalu juga melawat blog bicara kalbu di internet. Anggapan saya mungkin bicara kalbu ini hanya 'satu perkataan' yang tiada apa-apa makna pun disebaliknya. Takkanlah pula ada kalbu yang boleh bercakap . Itu fikiran dangkal saya. Namun baru-baru ini saya mempunyai hati yang rungsing dan tidak tenteram kerana mempunyai masalah. Saya tidaklah pula menceritakan kepada siapa-siapa, hanya dalam solat, saya berdoa "biarlah mak faham diri saya".
Apa yang mengejutkan saya, tidak lama selepas itu, saya menerima mesej dari emak
Ayat lebih kurang begini intipatinya. Ayat panjangnya tidak saya ingat lagi.(tapi masih simpan dalam diari)
"Nasib baik Haliza cakap kat mak dalam bicara kalbu.Kalau tak, sampai bila pun mak tak tahu.Mak minta maaf."
Saya sebenarnya tak mahu menyinggung perasaan emak dengan berterus terang, cuma masa tu saya buntu sangat.Sebab tu saya doa je pada Allah. Cuma mungkin tindakan saya berdiam diri dari mak dalam tempoh masa sebulan memberi isyarat pada mak ada sesuatu.Tidak pula saya tahu mak akhirnya akan tahu.
Persoalan saya.Apakah itu bicara kalbu? Adakah ada bicara kalbu ini? Atau dalam kes saya ni, mungkin juga Allah yang berikan ilham pada ibu?
p/s: harap dr/tuan/puan/ ustazah yang membaca dan akan menjawab emel ini tidak menyiarkan persoalan saya ini dalam akhbar. Sebab ibu dan ayah saya,mereka selalu baca akhbar. Jadi saya tidak mahu pula mereka tahu saya hantar persoalan ini kepada pihak jim. Maafkan saya di atas permintaan yang entah apa-apa ini.
Terima Kasih atas jawapan yang diberikan.
Haliza , Kuala Kangsar
------
JAWAPAN KAMI
Assalamualaikum,
Sebenarnya kalbu atau dhamir boleh berbicara dan apa yang dilontar oleh kalbu atau mata hati akan disambut oleh hati juga. Berbanding apa yang diucapkan dengan lidah, jika tidak disertai dengan keikhlasan, maka ia hanya akan menjadi halwa telinga, atau masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Bicara kalbu yang dijadikan sebagai nama ruangan tetap dalam berita Harian kendalian wanita JIM ini sebenarnya cuba menggambarkan apa yang terbit dari hati kami. Mudah-mudahan ia menjadi doa, ubat yang mujarab dan jalan keluar kepada sidang pembaca yang melontarkan pelbagai persoalan dan kemuskilan hidup.
Kalbu atau hati boleh berbicara dan adakalanya pesan-pesan yang dibisikkan oleh kalbu membawa impak yang besar kepada seseorang. Sebagai contoh bicara dari kalbu seorang ibu terhadap anak-anaknya seringkali menjadi doa yang mustajab. Seorang ibu yang berjauhan dengan anaknya akan menjadikan bisikan kalbunya sebagai saluran untuk menyampaikan pesan, nasihat dan doa. Adakalanya bila anak bermasaalah dan kata-kata sudah tidak diendahkan, maka berbicaralah dengan anak itu dengan kalbu yang tulus ikhlas. Allah SWT mendengar dan akan mengetuk pintu-pintu hati yang keras sehingga ia tunduk dan lembut. Bicara kalbu adalah saluran komunikasi yang berkesan terutama kepada mereka yang mempunyai hubungan hati yang baik. Seorang suami dan isteri yang soleh dan kasih-mengasihani di antara satu sama lain mampu membaca gerak hati dan gelombang-gelombang minda yang dihantar oleh pasangan masing-masing. Begitu juga seorang sahabat dengan sahabat yang mempunyai pertautan hati yang kuat.
Oleh itu selain dari komunikasi lisan dan badan, seseorang itu juga boleh menghantar pesanan-pesanan kalbu kepada orang lain. Ini terutama sekali apabila ada sesuatu yang menghambat seseorang untuk berbicara secara terus seperti yang dialami oleh saudara. Dalam keadaan sedemikian berbisiklah dengan kalbu dan berdoalah kepada Allah untuk menggerakkan hati seseorang.
Semuga memberi perspektif baru
Dr Hafidzi Mohd Noor
Thursday, August 2, 2007
Subscribe to:
Posts (Atom)