Thursday, September 13, 2007

Cara terbaik khatam al-Quran pada Ramadan

Soalan :

SAYA selalu mendengar ceramah mengenai Ramadan adalah bulan al-Quran dan kita digalakkan khatam al-Quran sebanyak mungkin sepanjang Ramadan ini. Boleh berikan panduan bagaimana cara supaya saya mampu khatam al-Quran pada Ramadan dan cara terbaik berinteraksi dengan al-Quran.

Gadis profesional,
Lembah Klang

Jawapan:

RAMADAN adalah satu-satunya bulan disebut namanya dalam al-Quran dan pada bulan itu diturunkan al-Quran.

Cara paling mudah khatam al-Quran ialah dengan membaca al-Quran secara konsisten sebanyak empat setengah muka setiap kali selepas solat lima waktu. Dengan izin Allah akan khatam dalam masa sebulan. Membaca empat setengah muka hanya mengambil masa lima minit saja.

Memang benar amalan utama pada Ramadan selain berpuasa ialah berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi dengan al-Quran boleh dilakukan pelbagai cara:

l Belajar dan mengajar. Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran atau tidak memahami maknanya wajib berusaha mengatasinya. Sebaik-baik waktu memulakan usaha itu adalah pada Ramadan kerana pahalanya akan berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Mereka yang dianugerah ilmu mengenai al-Quran hendaklah mengajarnya kepada mereka yang memerlukan. Kedua-dua golongan ini adalah orang yang terbaik di sisi Allah seperti sabda Nabi SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Belajar dan mengajar al-Quran bukan setakat belajar dan mengajar membacanya saja. Ia meliputi belajar dan mengajar maksud serta tafsiran ayatnya.

l Membacanya sama ada pada siang atau malam. Allah memuji mereka yang rajin membaca al-Quran dan menyediakan untuk mereka ganjaran besar.

Allah berfirman bermaksud: “Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (sudah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, ketika mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang salih.” (Surah ali-Imran, ayat 113-114)

l Menghayati titah perintahnya. Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Justeru, tidak cukup bagi kita sekadar membaca tanpa cuba memahami dan menghayati isi kandungannya. Allah mencela orang yang tidak mengambil pengajaran daripada kitab suci diturunkan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka). Janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang sudah diberikan kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang fasik.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

l Jadikan al-Quran sebagai penawar. Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” (Surah al-Isra’, ayat 82)

Abu Saed al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang sahabat menjampi dengan surah al-Fatihah untuk merawat seorang Arab Badwi yang pengsan kerana disengat binatang berbisa. menerusi jampi itu Badwi berkenan sembuh lalu menghadiahkannya 30 ekor kambing dan memberinya serta ahli rombongannya minum susu segar.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

l Hafal sebahagian surah atau ayat-ayatnya. Cara terbaik adalah menghafal keseluruhan al-Quran daripada awal hingga akhir. Bagi yang tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan, hafal sebahagian daripadanya, khususnya ayat atau surah digalakkan membacanya setiap hari.

Ibn Abbas berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam dadanya sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah usang yang tidak berpenghuni.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Antara surah yang sangat besar kelebihan menghafalnya ialah surah al-Mulk. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Di dalam al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, memberi syafaat kepada seseorang (yang membacanya) sehingga diampunkan dosanya, iaitu surah al-Mulk.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)



Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Tuesday, September 11, 2007

Hubungan Akhlak dengan Alam sekitar

Dr Hafidzi menyambung bicara

Apa pula hubungan akhlak dengan pengurusan alam sekitar.

Akhlak ada tiga macam, akhlak al-islami, akhlak asasi dan akhlak jahili. Akhlak islami adalah semua bentuk perlakuan yang berdasarkan kepada al-Quran dan hadis yang merupakan pokok sumber syariat. Seseorang yang berakhlak dengan akhlak islami akan berusaha untuk mencorakkan semua perbuatannya agar sesuai dengan ajaran yang terkandung dalam al- quran dan sunah-sunnah Nabi. Adapun akhlak asasi ialah akhlak sumulajadi tanpa ada usaha untuk mensejajarkan dengan aturan Islam. Seseorang itu mungkin dilahirkan dan dibesarkan dengan akhlak-akhlak yang tertentu seperti bersikap lemah lembut atau menghormati orang tua. Namun akhlak sebegini tidak mempunyai asas yang kukuh dan seringkali berubah bergantung kepada tuntutan semasa dan persekitaran. Orang yang berakhlak dengan akhlak yang baik secara semulajadi akan bertukar kepada akhlak yang sebaliknya apabila ada kepentingan- kepentingan tertentu seperti ingin membolot kekayaan, pangkat dan kedudukan. Akhlak jahili pula ialah akhlak
yang bertentngan dengan apa yang diperentah oleh Allah. Orang yang berakhlak dengan akhlak jahili akan meninggalkan perentah Allah sebaliknya apa yang dilarang itu yang dilakukan.

Bagaimana ketiga-tiga bentuk akhlak ini dikaitkan dengan pengurusan alam sekitar. Sudah tentu hanya orang yang berakhlak dengan akhlak Islami sahaja yang mapu menguruskan alam sekitar dengan lestari. Orang seperti ini akan menimbangkan prinsip-prinsip berupa menegakkan kebenaran, menolak kezaliman, menjauhi pembaziran, mengelak dari melakukan pencemaran. Dia tidak akan dipengaruhi oleh wang ringgit atau keuntungan peribadi dan jangka pendek. Sekiranya dia berakhlak dengan akhlak asasi maka alamat alam sekitar akan punah kerana dia mudah dipenagruhi dengan kepentingan kebendaan. Dia akan mengambil rasuah untuk menutup segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa. Bagaimana pula mereka yang berakhlak dengan akhlak jahili? Bagi orang yang seperti ini, dia lambat laun akan musnah bersama-sama dengan kemusnahan alam sekitar yang dipeloporinya.

Kesimpulannya persoalan akhlak adalah persoalan dasar dalam pengurusan alam sekitar yang lestari. Akhlak tadi pula terbit dari tauhid yang benar dan kesediaan untuk menerapkan syariat dalam kehidupan.

Hubungan syariat dengan Alam sekitar

Dr Hafidzi menyambung bicara,


Apa pula makna syariat? Tujuan-tujuan syariat ialah menegakkan agama dan menguruskan dunia (kehidupan) - 'Iqamatud-Din Wasiasatud-Dunya'

Menegakkan agama tidak boleh dipisahkan dari menguruskan kehidupan di dunia (termasuk semua makhluk-maklhluk Allah di bumi). Maka syariah diperturunkan kepada manusia agar ia dapat melaksanakan peranannya sebagai khalifah sebaik mungkin. Inilah jawatan yang disematkan kepada manusia ketika mana Allah hendak mencipta Adam as. Firman Allah yang bermaksud 'Sesungguhnya Aku hendak jadikan khalifah di bumi... (Al-Baqarah ayat 30?). Peranan dan kewajipan khalifah ialah mengatur kehidupan dan sumber-sumber alam sesuai dengan perentah dan syariat Allah SWT. Oleh kerana dia berjawatan khalifaf maka seluruh alam ini diletakkan di bawah pengurusan dan pengeloloaan makhluk lemah bernama manusia. Untuk membantu dia menjalankan tugasnya maka di utus rasul-rasul untuk menunjuk mereka ke jalan petunjuk yang benar dan dikurniakan akal yang luar biasa kemampuannya untuk mentadbir dan memanfaatkan semua sumber-sumber alam kurniaan Allah Taala untuk melansungkan kehidupan di atas muka bumi.

Maqasid syariah atau tujuan syariah diturunkan kepada manusia ialah untuk menjaga lima aspek kehidupan iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga harta, menjaga keturunan dan menjaga nyawa. Jika pengurusan alam sekitar mengambil kira dan berlandaskan kepada lima tonggak ini maka kita sedang menuju kepada pengurusan alam sekitar yang lestari. Sebagai contoh jika pengurusan hutan dan sumber asli menjuruskan kepada pemuliharaan alam sekitar, pemantauan kualiti air dan udara yang berterusan, pengurangan risiko pencemaran, pengekalan sumber untuk manfaat jangka panjang maka akan lahirlah masyarakat yang sejahtera. Sebaliknya jika pengurusan sumber-sumber alam adalah berdasarkan kepada kepentingan kebendaan jangka pendek, eksploitasi berleluasa, penggunaan sumber yang tidak berhemah serta mengakibatkan pencemaran persekitaran maka akan berlakulah pelbagai ancaman berupa penyakit, ketidak seimbangan sosio-ekonomi dan kekacauan kepada seluruh sistem kehidupan. Dalam keadaan yang
sedemikian hampir mustahil maksud syariah yang berdasarkan kepada lima tonggak itu dapat dicapai. Masyarakat akan runtuh di mamah oleh pelbagai penyakit dan gejala sosial
termasuklah penindasan oleh golongan kapitalis, pembolotan harta oleh mereka yang berkuasa, peminggiran kelompok tertentu dari arus perdana kehidupan. Keadilan sosial menjadi igauan yang tidak terjangkau dan keselamatan nyawa, harta, akal, keturunan dan akhir sekali agama semakin terhakis.

Sambung bhg ke 3 insyaAllah

Hubungan Tauhid dengan Alam sekitar

Soalan:
Saya ingin bertanya sedikit mengenai perkaitan antara akhlak,tauhid dan syariat terhadap alam sekitar.Saya agak keliru apakah perbezaan antara ketiga-tiga tersebut. Boleh minta tolong huraikan sedikit?
Roza Shahnaz
Putra Jaya

Jawapan: (Disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor)

Latar belakang saya ialah Bidang Biologi, hubungan hidupan liar dan alam sekitar.
Untuk melihat hubungan di antara 3 konsep iaitu tauhid, syariah dan akhlak dengan alam sekitar kita harus memahami maksud ke tiga-tiga istilah tersebut. Saya mulai dengan maksud Tauhid dahulu.

Tauhid ialah satu bentuk keyakinan (keimanan) bahawa Allah itu satu. Mentauhidkan Allah bererti tidak menyekutukannya dengan sesuatu seperti yang ditegaskan dalam surah al ikhlas. 'Katakanlah Allah itu satu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan dia dengan sesuatu tiada persamaan sedikit jua.' Makna tauhid inilah yang diungkapkan dalam kalimah tayyibah yang menjadi ikrar dan pegangan kita umat Islam iaitu 'Tiada Tuhan melainkan Allah'. Setelah kita menggariskan makna tauhid bagaimanakah hubungan tauhid dengan alam sekitar? Oleh kerana Allah itu satu dan Dia maha pentadbir alam ini termasuklah seluruh jagat raya (alam cakrawala yang meluas), maka seluruh alam ini tunduk kepada peraturan yang satu - yang dinamakan sunatullah (sunnah Allah). Walaupun Sains sekular menyebutnya sebagai the Law of nature, hakikatnya kesemua peraturan yang mengatur perjalanan alam ini telah disusun oleh Allah sedemikian rapi sehingga kita tidak melihat sebarang pertembungan dan kacau bilau. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Masing-masing telah ditentukan waktunya, yang satu tidak mendahului yang satu lagi. Matahari, planet-planet, comet, asteroid, bulan-bulan dan semua bintang-bintang yang terdapat di pelbagai nebula (cakerawala) yang tidak terhitung banyaknya itu berjalan mengikut garis-garis orbit yang telah ditentukan. Sistem yang begini lengkap dan sempurna tidak mungkin menjadi kenyataan kalau tidak bersumber dari arahan dan peraturan yang satu berlandaskan akidah tauhid tadi.

Dalam konteks ini manusia disuruh supaya tidak mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar seperti firman Allah dalam surah al- Baqarh yang bermasud 'Apabila dikatakan kepada mereka janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, mereka mengatakan kami melakukan kebaikan, walhal mereka melakukan kerosakan sedangkan mereka tidak menyedari'. Ayat ini membicarakan tentang sifat orang munafik yang berpura-pura melakukan kebaikan tetapi sebenarnya mereka mendatangkan kemusnahan dan kerosakan, termasuklah dalam hal pengurusan alam sekitar. Manusia yang beriman dengan tauhid yang sebenarnya akan berlaku amanah dan sekali-kali tidak akan melakukan eksploitasi segala sumber alam untuk sekadar memuaskan hawa nafsu dan kepentingan diri (ini banyak berlaku dalam realiti kehidupan sehari-hari di mana kita melihat manusia dengan sewenang-wenangnya mencemari sungai, memusnahkan hutan, membuang sisa toksik di tempat yang tidak sewajarnya, melakukan perburuan haram sehingga menyebabkan
kepupusan beberapa spesies haiwan). Hanya manusia yang mentauhidkan Allah sahaja yang mampu menguruskan alam ini dengan cara lestari (membawa manfaat yang berpanjangan dan berterusan). Dia akan mengambil manfaat dari sumber-sumber alam dengan mengambil kira kesan-kesan aktiviti ekonomi ke atas alam sekitar, kelansungan fauna dan flora serta keseimbangan ekologi. Dengan demikian doktrin tauhid amat diperlukan dalam kemelut mentadbir dan memantau kesejahteraan alam sekitar yang semakin robek dan rosak akibat tangan-tangan rakus manusia yang bejat dan mementingkan diri sendiri.

Nanti sambung aspek akhlak dan syariat.