Tuesday, September 11, 2007

Hubungan Akhlak dengan Alam sekitar

Dr Hafidzi menyambung bicara

Apa pula hubungan akhlak dengan pengurusan alam sekitar.

Akhlak ada tiga macam, akhlak al-islami, akhlak asasi dan akhlak jahili. Akhlak islami adalah semua bentuk perlakuan yang berdasarkan kepada al-Quran dan hadis yang merupakan pokok sumber syariat. Seseorang yang berakhlak dengan akhlak islami akan berusaha untuk mencorakkan semua perbuatannya agar sesuai dengan ajaran yang terkandung dalam al- quran dan sunah-sunnah Nabi. Adapun akhlak asasi ialah akhlak sumulajadi tanpa ada usaha untuk mensejajarkan dengan aturan Islam. Seseorang itu mungkin dilahirkan dan dibesarkan dengan akhlak-akhlak yang tertentu seperti bersikap lemah lembut atau menghormati orang tua. Namun akhlak sebegini tidak mempunyai asas yang kukuh dan seringkali berubah bergantung kepada tuntutan semasa dan persekitaran. Orang yang berakhlak dengan akhlak yang baik secara semulajadi akan bertukar kepada akhlak yang sebaliknya apabila ada kepentingan- kepentingan tertentu seperti ingin membolot kekayaan, pangkat dan kedudukan. Akhlak jahili pula ialah akhlak
yang bertentngan dengan apa yang diperentah oleh Allah. Orang yang berakhlak dengan akhlak jahili akan meninggalkan perentah Allah sebaliknya apa yang dilarang itu yang dilakukan.

Bagaimana ketiga-tiga bentuk akhlak ini dikaitkan dengan pengurusan alam sekitar. Sudah tentu hanya orang yang berakhlak dengan akhlak Islami sahaja yang mapu menguruskan alam sekitar dengan lestari. Orang seperti ini akan menimbangkan prinsip-prinsip berupa menegakkan kebenaran, menolak kezaliman, menjauhi pembaziran, mengelak dari melakukan pencemaran. Dia tidak akan dipengaruhi oleh wang ringgit atau keuntungan peribadi dan jangka pendek. Sekiranya dia berakhlak dengan akhlak asasi maka alamat alam sekitar akan punah kerana dia mudah dipenagruhi dengan kepentingan kebendaan. Dia akan mengambil rasuah untuk menutup segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa. Bagaimana pula mereka yang berakhlak dengan akhlak jahili? Bagi orang yang seperti ini, dia lambat laun akan musnah bersama-sama dengan kemusnahan alam sekitar yang dipeloporinya.

Kesimpulannya persoalan akhlak adalah persoalan dasar dalam pengurusan alam sekitar yang lestari. Akhlak tadi pula terbit dari tauhid yang benar dan kesediaan untuk menerapkan syariat dalam kehidupan.

No comments: