Soalan:
Saya ingin bertanya sedikit mengenai perkaitan antara akhlak,tauhid dan syariat terhadap alam sekitar.Saya agak keliru apakah perbezaan antara ketiga-tiga tersebut. Boleh minta tolong huraikan sedikit?
Roza Shahnaz
Putra Jaya
Jawapan: (Disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor)
Latar belakang saya ialah Bidang Biologi, hubungan hidupan liar dan alam sekitar.
Untuk melihat hubungan di antara 3 konsep iaitu tauhid, syariah dan akhlak dengan alam sekitar kita harus memahami maksud ke tiga-tiga istilah tersebut. Saya mulai dengan maksud Tauhid dahulu.
Tauhid ialah satu bentuk keyakinan (keimanan) bahawa Allah itu satu. Mentauhidkan Allah bererti tidak menyekutukannya dengan sesuatu seperti yang ditegaskan dalam surah al ikhlas. 'Katakanlah Allah itu satu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan dia dengan sesuatu tiada persamaan sedikit jua.' Makna tauhid inilah yang diungkapkan dalam kalimah tayyibah yang menjadi ikrar dan pegangan kita umat Islam iaitu 'Tiada Tuhan melainkan Allah'. Setelah kita menggariskan makna tauhid bagaimanakah hubungan tauhid dengan alam sekitar? Oleh kerana Allah itu satu dan Dia maha pentadbir alam ini termasuklah seluruh jagat raya (alam cakrawala yang meluas), maka seluruh alam ini tunduk kepada peraturan yang satu - yang dinamakan sunatullah (sunnah Allah). Walaupun Sains sekular menyebutnya sebagai the Law of nature, hakikatnya kesemua peraturan yang mengatur perjalanan alam ini telah disusun oleh Allah sedemikian rapi sehingga kita tidak melihat sebarang pertembungan dan kacau bilau. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Masing-masing telah ditentukan waktunya, yang satu tidak mendahului yang satu lagi. Matahari, planet-planet, comet, asteroid, bulan-bulan dan semua bintang-bintang yang terdapat di pelbagai nebula (cakerawala) yang tidak terhitung banyaknya itu berjalan mengikut garis-garis orbit yang telah ditentukan. Sistem yang begini lengkap dan sempurna tidak mungkin menjadi kenyataan kalau tidak bersumber dari arahan dan peraturan yang satu berlandaskan akidah tauhid tadi.
Dalam konteks ini manusia disuruh supaya tidak mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar seperti firman Allah dalam surah al- Baqarh yang bermasud 'Apabila dikatakan kepada mereka janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, mereka mengatakan kami melakukan kebaikan, walhal mereka melakukan kerosakan sedangkan mereka tidak menyedari'. Ayat ini membicarakan tentang sifat orang munafik yang berpura-pura melakukan kebaikan tetapi sebenarnya mereka mendatangkan kemusnahan dan kerosakan, termasuklah dalam hal pengurusan alam sekitar. Manusia yang beriman dengan tauhid yang sebenarnya akan berlaku amanah dan sekali-kali tidak akan melakukan eksploitasi segala sumber alam untuk sekadar memuaskan hawa nafsu dan kepentingan diri (ini banyak berlaku dalam realiti kehidupan sehari-hari di mana kita melihat manusia dengan sewenang-wenangnya mencemari sungai, memusnahkan hutan, membuang sisa toksik di tempat yang tidak sewajarnya, melakukan perburuan haram sehingga menyebabkan
kepupusan beberapa spesies haiwan). Hanya manusia yang mentauhidkan Allah sahaja yang mampu menguruskan alam ini dengan cara lestari (membawa manfaat yang berpanjangan dan berterusan). Dia akan mengambil manfaat dari sumber-sumber alam dengan mengambil kira kesan-kesan aktiviti ekonomi ke atas alam sekitar, kelansungan fauna dan flora serta keseimbangan ekologi. Dengan demikian doktrin tauhid amat diperlukan dalam kemelut mentadbir dan memantau kesejahteraan alam sekitar yang semakin robek dan rosak akibat tangan-tangan rakus manusia yang bejat dan mementingkan diri sendiri.
Nanti sambung aspek akhlak dan syariat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment