MEMPERKASA DIRI BUKAN LARIKAN DIRI DARI MASALAH
SOALAN
Assalamualaikum wr wb
Saya membaca artikel puan di dalam RUANGAN JENDELA HIKMAH akhbar BH hari ini 28 HB JUN 2007 berkaitan memperkasakan diri melalui kehebatan diri.
Saya ingin berkongsi masalah yg saya hadapi dan mengharapkan pandangan dan motivasi dari pihak puan. Saya pernah melakukan kesilapan di tempat kerja sehingga rata-rata rakan sekerja mula memandang benci terhadap saya walaupun saya telah mengakui kesilapan tersebut, memohon maaf terhadap orang yg berkenaan dan dia pula telah memaafkan saya dan menganggap apa yg terjadi adalah dugaan daripada Allah SWT. Saya juga telah bertaubat kepadaNya.
Namun masyarakat di tempat kerja dan juga jiran-jiran saya tetap menunjukkan sikap membenci saya, malah setiap mereka yg mendekati saya seolah-olah dihasut agar jangan berbaik dengan saya. Akhirnya saya kehilangan kawan seorang demi seorg. Ianya berterusan walaupun peristiwa itu telah berlalu hampir tujuh tahun lalu. Dalam tempoh 7 tahun itu saya dipulau dan dipandang sepi, tetapi saya menguatkan semangat utk tabah menghadapinya. Namun apa yg membimbangkan saya, masalah tersebut memberi kesan kepada masa depan kerjaya saya, saya seolah-olah dihalang utk memajukan diri dan memegang apa-apa jawatan yg lebih tinggi.
Kadangkala saya merasakan perlu berpindah tempat kerja atau mencari pekerjaan lain, tetapi ke mana? Berpindah tempat kerja bukannya mudah kerana saya terikat dengan kontrak. Saya juga berazam utk mengumpul modal utk memulakan perniagaan sendiri di suatu masa kelak. Saya harap puan dapat memberikan maklum balas dan pandangan. Saya ucapkan berbanyak terima kasih atas pandangan yg akan diberikan.
Sekian. terima kasih.
Ruzi.
JAWAPAN
Salam,
Saya terharu dan bersimpati engan apa yang sedang dilalui oleh Saudari Ruzi. Tindakan Saudari Rozi bertaubat dan meminta maaf adalah satu usaha yang murni. Apa yang berlaku selama tujuh tahun menunjukkan Saudari Ruzi seorang yang tabah dan berhati mulia.
Apa yang boleh saya cadangkan adalah supaya saudari sentiasa bersangka baik sesama manusia, berfikiran positif dan berusaha menukar masalah kepada peluang dengan menangani masalah dengan bijaksana. Gunakanlah pendekatan beramal dengan amal soleh dan mencegah kejahatan dengan kebaikan sepertimana firman Allah Surah Al-Fussilat ayat 33-36 yang bermaksud:-
(33)- Siapakah yang lebih baik perkataannya di banding orang-orang yang berseru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata: “ Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.
(34) Tidak sama amal kebajikan dengan keburukan. Tolaklah (keburukan itu) dengan perbuatan yang lebih baik (bijaksana). (Jika kamu lakukan demikian), maka orang yang bermusuhan dengan kamu akan menjadi akrab.
(35) (Sifat demikian) tidak diberikan kecuali kepada orang-orang yang bersabar, dan tidak diberikan pula kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.
(36) Dan jika godaan syaitan datang kepada mu, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Saya faham bahawa kehilangan kawan merupakan sesuatu yang pahit. Cubalah mencari ramai kenalan baru yang insya-Allah dapat menerima saudari dengan lebih baik dan bersikap lebih terbuka. Saudari boleh menyertai persatuan-persatuan kebajikan atau menghadiri majlis-majlis ilmu di masa lapang. Menyertai aktiviti-aktiviti yang sihat begini bukan sahaja membuka ruang untuk mendapat kenalan-kenalan malah akan meningkatkan keyakinan diri.
Mengenai cadangan saudari untuk berpindah tempat kerja atau berniaga, pada pendapat saya adalah satu cita-cita yang boleh menjadi alternatif yang baik. Apa pun seeloknya saudari menunggu sehingga tamat kontrak kerana bimbang implikasi undang-undang yang mungkin akan merumitkan masalah saudari..
Sekiranya saudari minat berniaga, saya mencadangkan saudari supaya menyertai mana-mana persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti perniagaan. Ini membolehkan saudari meneroka potensi diri dan peluang-peluang perniagaan yang ada serta melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang berkaitan.
Sebagai seorang usahawan, secara peribadi saya berpendapat berniaga adalah satu kerjaya yang mencabar tetapi menyeronokkan, memberi kepuasan dan membuka banyak ruang-ruang untuk kita berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Apa pun saudari perlu membuat perancangan dan persediaan rapi terutama dari segi masa, kewangan dan kekuatan diri. Membuat perubahan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Insya-Allah berhijrah dengan niat yang suci akan membawa keberkatan dan kerahmatan Allah SWT.
Saya yakin saudari akan dapat menangani masalah ini dengan penuh kesabaran. Moga saudari Rozi berjaya dalam kerjaya, keluarga dan sentiasa tenang menghadapi hari-hari yang mendatang.
JAWAPAN DISEDIAKAN OLEH PUAN ROSNAH AHMAD, USHAWAN TASKA DAN TADIKA ISLAM
Wednesday, June 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment