Pahala dan dosa tidak diwarisi
Dear puan,
Salam perkenalan dari saya Lisa berdomisili di Indonesia.
Saya telah membaca artikel anda yang berjudul "Pergaulan Bebas Punca Hubungan Terlarang". Saya amat sukakannya, disitu saya banyak dapatkan pengetahuan- pengetahuan. ...Boleh saya tanya satu hal?
Jika orang tua sudah mendidik kita yang baik2, tapi kita sebagai anak tetap menjalankan hal2 yang dilarang Allah....mungkin seperti pergaulan bebas dll....sedangkan orang tua kita telah tiada...apakah Orang tua kita dapat juga menanggung dosa atas apa yang telah kita perbuat? Mohon jawabannya.. ..thanks,
Regads,
Lisa
JAWAPAN
Soalannya adalah berkaitan dengan apakah orang tua yang telah memberi didikan yang baik tetapi si anak tetap melakukan yang dilarang agama, akan menanggung dosa si anak?
Islam telah meletakkan asas dalam hal ini iaitu seseorang tidak akan menanggung dosa seorang yang lain. Apa yang dilakukan oleh seseorang maka dia akan menanggung akibat dari perbuatannya dan diakhirat dia akan dibalas setimpal dengan dosa yang dilakukan.
Tetapi dalam Islam ada juga konsep amal jariah. Maksudnya jika kita melakukan sesuatu yang baik dan orang lain terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama hasil dari didikan, bimbingan dan tunjuk ajar kita maka kita akan menerima pahala yang tidak putus-putus selama mana orang mendapat manfaat dari amalan baik yang kita wariskan melalui tunjuk ajar tadi. Begitu juga dosa boleh diwarisi jika kita mendidik dan mengajar orang untuk melakukan kejahatan, lalu kejahatan itu dituruti dan disebarluaskan oleh orang lain.
Dalam hal ibu-bapa, begitu jug. Jika mereka meninggalkan anak yang soleh maka mereka akan memperoleh bahagia berpanjangan di alam barzakh kerana amal soleh yang dilakukan oleh anak mereka hasil dari didikan ibu-bapanya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW:
'Apabila mati anak adam, maka putuslah amalannya kecuali tiga iaitu, anak yang soleh yang mendoakan untuknya, ilmu yang diajarkan dengannya dan sedekah jariah yang ditinggalkan' .
Bagaimana pula kalau ibu-bapa tadi meninggalkan anak-anak yang tholih (yg jahat dan tidak soleh). Ibu-bapa yang sedemikian akan menerima tempiasannya di akhirat kerana kegagalan mereka mendidik anak-anak ke jalan Islam dan taqwa. Tetapi jika ibu-bapa telah menjalankan kewajipan dengan baik, tetapi anak tetap tidak mahu berubah malah melakukan perbuatan yang bertentangan dengan apa yang diajarkan, maka Allah SWT tidak akan membebankan ibu-bapa tadi dengan sesuatu di luar kemampuannya.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah
'sesungguhnya seseorang itu tidak akan dibebankan dengan apa yang tidak disanggupinya. ' Ibu-bapa tadi akan mendapat ganjaran penuh atas amal perbuatannya. Akan sianak pula, dia akan bertanggungjawab penuh atas segala perbuatan buruk yang dilakukan tanpa membabitkan ibu-bapanya.
Jika kita lihat dalam sejarah para Nabi, kita melihat banyak contoh seperti ini. Nabi Nuh AS beriman, sedang anaknya kufur dan mati sebagi orang yang tidak beriman. Begitu juga Nabi Lut AS, isteri dan anaknya menolak kebenaran yang dibawa dan mati dalam kekafiran. Di sebaliknya ada pula anak yang beriman dan ayah kufur seperti halnya Abdullah bin Ubay, ketua orang munafik di Madinah, tetapi anaknya beriman. Begitu juga Abu Jahal yang mati dalam peperangan Badar sebagai orang kafir tetapi anaknya Ikrimah bin Abi Jahal adalah seorang yang beriman.
Bolehlah kita simpulkan bahawa anak bertanggung jawab penuh atas laku perbuatannya tanpa membabitkan orang tua yang telah mendidik mereka dengan didikan yang baik.
Wallahu'alam
Dr Hafidzi Mohd Noor
Tuesday, July 17, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
adakah ia dianggap dosa karana telah menuduh seseorang tanpa menyelidik????
Post a Comment